Monday, December 31, 2012

Doh Mainan


Doh Mainan (Play dough)

Doh Mainan merupakan satu jenis permainan yang sangat menarik untuk anak-anak bermain dan mendapatkan pengalaman. Mereka boleh menguli, memicit, menggentel, meramas,mencubit, menekap menggunakan acuan biskut, memotong dan membentuk.

antara faedah bermain dengan doh adunan ialah:

  •  Ia sangat baik untuk menguatkan tangan dan mengawal tangan dan jari anak-anak.
  • Meningkatkan kemahiran motor halus untuk memudahkannya menulis dan menggunakan jari jemari untuk membuat tugasan lain
  • Menggalakkan kreativiti dan imaginasi
  • Meningkatkan kemahiran mengikut arahan daripada guru atau ibubapa
  • Baik juga untuk meningkatkan keyakinan mereka untuk memasak apabila mereka menimba pengalaman membuat kuih muih tiruan menggunakan tanah liat.


Buat sendiri doh mainan anak-anak anda. Ia menjimatkan dan lebih menyeronokkan anak anda kerana mereka boleh bermain dengan warna dan mungkin juga boleh dicampurkan dengan serbuk kilatan agar lebih menarik.

di bawah saya kongsikan beberapa resipi untuk membuat doh mainan.

Resipi 1 (perlu dimasak)

Bahan-bahan

·         2 cawan tepung gandum
·         1 cawan garam
·         2 sudu minyak masak
·         1 sudu cream of tartar
·         2 cawan air suam
·         Pewarna makanan

Cara membuatnya:

Gaulkan tepung dan garam, kemudian masukkan air suam dan minyak masak di dalam periuk.
Masak di atas api sederhana selama 3-5 minit. Gaul sentiasa, sehingga ia bergumpal. Tutup api.
Adunan yang sudah siap dimasak
Setelah suam, bahagikan adunan kepada beberapa bahagian. Uli seperti bola dan tekan ditengah-tengah adunan untuk membuat lubang. Tiitikan pewarna di dalam lubang tersebut
Uli sehingga pewarna sebati di dalam doh
Biarkan anak-anak berimaginasi dengannya.



Sekiranya anda sukar mencari cream of tartar, anda boleh menggunakan resipi ini.

Bahan-bahan

·         1 cawan tepung gandum
·         1/4 cawan garam
·         3 sudu jus limau
·         2 sudu minyak masak
·         1/2 cawan air
·         Pewarna makanan

  1.  Campur tepung dan garam, masukkan air dan jus limau
  2. Masak di atas api sederhana, kacau sentiasa sehingga ia menjadi doh yang lembut
  3. Bahagikan kepada beberapa bahagian, uli dan campurkan dengan warna yang disukai.



Resipi doh mainan (tidak perlu dimasak)

Bahan-bahan

·         3 cawan tepung gandum
·         1 cawan garam
·         1 sudu minyak masak
·         1 cawan air (masuk sedikit demi sedikit supaya adunan tidak lembik)

Cara membuatnya:

  1. Campurkan tepung dan garam, kemudian masukkan air dan minyak.
  2. Uli sehingga ia menjadi doh yang lembut. Doh mainan yang tidak dimasak hanya boleh bertahan selama seminggu berbanding


Nota: 

Simpan doh mainan yang anda buat di dalam bekas kedap udara atau di dalam plastik untuk memastikannya bertahan lama. Doh mainan yang tidak disimpan dengan baik akan menjadi keras. 

Doh mainan yang dimasak dengan garam boleh bertahan sehingga tiga bulan jika disimpan dengan baik.

Wednesday, June 15, 2011

Perarakan isra' & mikraj

Bismillahirrahmanirrahim...

Buat pertama kalinya ,Tadika Nursyifa akan mengadakan satu perarakan bagi memuliakan hari kebesaran islam , isra' mikraj pada 28 jun 2011 (selasa).

Para pelajar akan berarak disekitar kawasan perumahan tadika dengan diiringi guru-guru dan sepanduk,diharap ia menjadi titik permulaan kepada kerja dakwah untuk  anak-anak kita.

Untuk majlis ini,pelajar diminta memakai pakaian kebangsaan,baju melayu bagi pelajar lelaki dan baju kurung bagi pelajar perempuan.

Mohon kerjasama ibu bapa untuk  menyiapkan anak-anak , moga ia menjadi kenangan manis untuk diingati bersama...

Allahumma  solli  'ala  saidina  muhammad !!!

Monday, June 13, 2011

al-Fatihah buat yang pergi...

salam takziah diucapkan kepada  Adik Aina Irdina Qistina yang kehilangan ayahanda tercinta dalam kemalangan di kelantan pada minggu lepas.


Aina adalah pelajar di tadika nursyifa cawangan taman teja,seorang pelajar yang ceria, mudah tersenyum,sangat aktif dan peramah.moga Allah memberi kekuatan kepada Aina sekeluarga untuk menghadapi dugaan ini.

Firman Allah Taala" sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada Allah jua lah kita kembali".....Al-Fatihah.

Monday, December 27, 2010

Tadika Nursyifa make over!

Alhamdulillah, sempena Tahun 2011 Tadika Nursyifa telah membuat penampilan baru. Moga wajah baru ini akan memberi inspirasi kepada kita semua!

Sebelum


Alahai... silap la pulak...

Akhirnya...

Bila anak tak mahu ke sekolah!

Ketika menjelang hari-hari persekolah, muncul pelbagai-bagai gelagat anak-anak. Ada yang teruja untuk pergi sekolah, ada yang malu-malu kucing, ada yang takut-takut dan ada juga yang tidak mahu langsung ke sekolah.

Bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang bersemangat untuk ke sekolah, sungguh ia amat membahagiakan kerana anak-anak seperti itu mudah sahaja diurus. Bangun pagi tidak perlu dikejut, memakai baju dengan senyum di bibir, sarapan tidak perlu disuruh, selepas itu meluru laju ke kenderaan sambil menjerit memanggil ayah agar cepat menghantar mereka ke sekolah.

Tetapi bagi ibu bapa yang berhadapan dengan anak yang takut-takut atau tidak mahu ke sekolah, ia pasti memeningkan malah mungkin juga membuat ibu bapa tidak sabar dengan berbagai karenah. Mereka mungkin sahaja pagi-pagi lagi akan menangis, tidak mahu mandi, tidak mahu memakai baju, bahkan mungkin juga akan terjadi aksi tarik-menarik tatkala ibu bapa meminta anak-anak  masuk ke dalam kenderaan. Aduhai, sungguh memenatkan dan menguji kesabaran!


Perasaan tidak selamat

Sekiranya anak-anak sejak pagi lagi sudah menangis, ini kerana mereka didorong oleh perasaan tidak selamat untuk meninggalkan rumah. Mereka sudah terlalu selesa dengan keadaan dan persekitaran rumah dan boleh melakukan apa sahaja yang mereka suka. Mereka boleh bermain dan makan tanpa mengikut peratuan.

Tadika merupakan tempat yang sangat asing bagi anak-anak. Mereka juga mungkin tidak selesa dengan guru dan rakan-rakan yang tidak pernah dikenali, lantas menimbulkan rasa tidak selamat dikalangan anak-anak.

Tambahan pula, anak-anak akan merasakan bahawa mereka tiada tempat berlindung atau tempat mengadu sekiranya berlaku apa-apa pada diri mereka.

Oleh itu, antara langkah yang boleh ibu bapa lakukan adalah mendakap anak-anak dengan penuh kasih sayang sebelum meninggalkan anak di kawasan tadika. Beri kata-kata perangsang kepada mereka, kemudian beri lambaian setelah menyerahkan anak kepada guru tadika.

Bagaimana jika anak menangis? Jangan hampiri, teruskan perjalanan anda, beritahu kepadanya bahawa anda akan mengambilnya setelah tamat sesi pembelajaran. Menangis hanya ingin menguji emosi anda. Sekiranya anda berlembut dan menunggu ia akan mengambil masa yang lama untuk mereka menyesuaikan diri.

Ibu bapa seharusnya perlu ada keyakinan diri dan berkeras hati untuk melawan emosi simpati kerana tangisan anak. Anggaplah itu satu cabaran baginya untuk berdikari dan berilah kepercayaan kepada guru untuk meredakan emosinya.

Budaya menunggu anak selalu terjadi apabila perasaan takut menghantui pemikiran ibu bapa. Sebenarnya ibu bapa sendiri yang merancang dan menentukan kesediaan anak untuk ke tadika. Jika hari ini anda bersimpati dan kasihan melihat anak menangis, ini akan membuatkan anda menunggu anak seharian di tadika. Keesokan hari, perkara yang sama akan terjadi, dan lama-kelamaan anda akan merasa tidak seronok kerana ia sesuatu yang membebankan kerana banyak kerja yang tertangguh.

Sebaliknya jika anda meninggalkan anak kepada guru, anak anda akan lebih cepat menyesuaikan diri dengan keadaan persekitarannya. Anak anda akan belajar memberi kepercayaannya kepada guru. sebenarnya, tangisan mereka tidak memakan masa yang lama sekiranya ditangani oleh guru yang terlatih dan berpengalaman.

Sekiranya anda risau, dapatkan nombor telefon tadika dan bertanyalah hanya selepas sejam anda meninggalkan anak. Biasanya anda akan mendapat laporan yang positif. Tapi awas! Jangan sesekali bercakap dengan anak anda melalui telefon, kerana kemungkinan emosinya yang sudah stabil akan berkocak semula. Percayalah bahawa guru akan memberi laporan yang benar lagi telus! :)

Apabila anak anda pulang, berikan pujian kerana berjaya berada di tadika. Kata-kata perangsang sangatlah penting untuk si kecil itu pergi ke tadika lagi untuk keesokan harinya. Sediakan juga hati dan perasaan anda untuk mendengar segala pengalaman anak anda pada hari pertama persekolahannya. Beritahu kepadanya bahawa anda sangat bangga dengan pencapaiannya.

Sekiranya anak-anak mengulangi perkara yang sama (menangis) pada hari berikutnya, ulangilah apa yang anda lakukan pada hari pertama, Insya Allah dalam masa dua tiga hari dia akan mula terbiasa dengan rutinnya.

Tidak cukup tidur

Di samping itu, anak-anak yang tidak biasa bangun tidur di awal pagi akan merasakan tidurnya terganggu. Mengantuknya belum hilang, maka proses persediaan ke sekolah merupakan perkara yang amat menyeksakan mereka. Oleh itu, sebaik-baiknya dua tiga minggu sebelum sekolah bermula ibu bapa haruslah melatih anak-anak tidur awal dan bangun awal agar hari pertama persekolahan bukan hari yang menyakitkan buat anak-anak dan hari yang memeningkan buat ibubapa.

Oleh itu, semua ahli keluarga perlu berkorban dan bekerjasama untuk mengurangkan menonton pada waktu malam. Galakkan anak tidur awal dan sentiasa berkata kepada anak anda "Mulai sekarang, aina kena tidur awal supaya mudah bangun pagi kerana aina akan ke sekolah tidak lama lagi..."

Ibu bapa perlulah memberikan persedian secara mental dan fizikal kepada anak supaya anak-anak mudah menerima hakikat bahawa mereka akan melalui fasa baru di dalam hidup mereka.

Sikap anak-anak amat bergantung kepada bagaimana ibu bapa melayani mereka. Maka jadilah ibu bapa yang hebat supaya anak anda akan menjadi lebih hebat. Selamat menyambut tahun baru dengan pengalaman yang indah dan bermakna!Mudah-mudahan tahun 2011 ini akan terus bersinar dengan kejayaan yang lebih gemilang...

Sunday, December 26, 2010

Kembali ke sekolah!

Masya Allah diam tak diam, kita kini semakin menghampiri tahun 2011. Ini bermakna, sesi persekolahan yang baru turut akan menjelma tidak lama lagi.

Di sini maklumat berkenaan dengan sesi persekolahan 2011

Tarikh persekolahan bermula : 2 Jan 2011
Hari Orientasi pelajar : 2 - 4 Jan 2011
Sesi pembelajaran pada hari orientasi : 8.15 pagi - 10.30 pagi
Pakaian : Uniform sekolah

Bagi ibubapa baru yang mungkin berhadapan dengan anak-anak yang menangis pada hari pertama ditinggalkan di tadika, nantikan 'entry' saya yang seterusnya berkenaan perkara tersebut.

Selamat menyambut Tahun 2011, dan moga tahun ini akan melakar kejayaan demi kejayaan dalam diri kita dan anak-anak!

Tuesday, December 21, 2010

Aktiviti untuk anak-anak yang bercuti

Ketika cuti sekolah bermula (walaupun suti sekolah kali ini bakal berakhir tak lama lagi), saya pasti ramai ibu bapa yang pening memikirkan aktiviti apakah yang boleh disusun untuk anak-anak. Jika tidak diprogramkan, pasti anak-anak akan terpaku di depan kaca televisyen. Di sini saya kongsikan beberapa aktiviti mudah yang boleh dilaksanakan dengan anak-anak.

Usah biarkan waktu berlalu begitu sahaja. Programkan anak kita dengan aktiviti yang berfaedah. Mudah-mudahan ia akan merapatkan hubungan kita dengan anak dan anak juga akan merasa gembira dengan aktiviti baru ini. Kita pula tidaklah sakit kepala melihat anak hanya menghadap televisyen...

Aktiviti 1

Apa yang diperlukan

- bola ping pong

Cadangan aktiviti

  1. Meniup bola ping pong. Perlukan 2 orang duduk saling berhadapan. Untuk pusingan pertama, peserta A meniup bola untuk sampai ke tempat peserta B, dan peserta B perlu menghalang bola tersebut daripada sampai ketempatnya dengan meniup kembali bola tersebut ke tempat peserta A. Markah boleh dikira mengikut berapa kali peserta dapat menembusi pihak lawan.
  2. baling bola ke dalam bakul atau baldi

Aktiviti 2

Apa yang diperlukan

Belon

Cadangan aktiviti

  1. Biarkan anak-anak bermain dengan belon
  2. lambung belon ke atas dan pastikan belon tidak mencecah ke tanah. Lihat berapa lama anak-anak boleh bertahan
  3. Ikat seutas tali antara 2 pokok, (Jika tak ada pokok, tiang tempat letak kereta di rumah pun boleh) pukul belon melepasi tali tersebut sepeti bermain bola tampar.
Aktiviti 3

Apa yang diperlukan

Botol berbagai saiz dan penutup sekurang-kurangnya 10

Cadangan aktiviti

  1. Minta anak-anak padankan botol dengan penutup
  2. Minta anak-anak padankan botol dengan penutup dengan kiraan masa terpantas
  3. Minta anak-anak padankan botol dengan penutup dengan menutup mata.

Selamat mencuba! Moga bermanfaat!