Friday, June 4, 2010

Kursus Pemantapan Guru

Alhamdulillah, hari ini (4 Jun 2010) pada jam 1.30 tgh hari selesai sudah Kursus Pemantapan Guru. Kursus yang bermula dengan solat maghrib pada 3 Jun 2010 lebih banyak bertumpu kepada kemahiran guru-guru mengendalikan pelajar dengan lebih berkesan dan baik lagi.

Selepas solat maghrib guru-guru dikehendaki mempertingkatkan lagi kualiti bacaan dalam solat supaya apa yang disampaikan kepada pelajar-pelajar adalah bacaan yang betul dan fasih. Setelah dibuat ujian terhadap bacaan guru-guru alhamdulillah bacaan guru-guru didapati betul, malah kesilapan-kesilapan kecil dapat diperbaiki.

Sekitar jam 9.00 malam satu slot yang bertajuk Real Reward telah disampaikan oleh pengurus Tadika Nursyifa, Puan Hasifah Zainuddin. Di dalam slot ini, penekanan adalah terhadap cara mendidik anak-anak secara positif.

Sebagaimana yang kita maklum, kebanyakan dikalangan kita, sama ada guru dan ibu bapa banyak memfokus kepada kekurangan anak-anak dan mendidik anak-anak dengan cara yang agak kasar dan garang. maka dalam slot ini Puan Hasifah cuba mengenengahkan cara alternatif yang sebenarnya lebih memberi impak dalam pendidikan anak-anak iaitu dengan memberikan ganjaran.

Anak-anak memang sukakan hadiah atau ganjaran, maka kegemaran ini harus kita gunakan dalam merangsang potensi anak-anak. Potensi yang ada, kadang-kadang tidak dapat diserlahkan lantaran tiada galakan yang baik dari orang sekeliling.

Oleh itu, ganjaran yang berbentuk pujian, stiker dan bintang adalah antara pendekatan yang cuba kita laksanakan dalam rangka kita membina anak-anak yang bijak dan berakhlak mulia.

Di samping ganjaran-ganjaran, guru-guru juga diberi pendedahan tentang bagaimana untuk menghukum anak-anak secara berhikmah agar pelajar akan belajar bahawa perkara baik akan mendapat ganjaran yang baik dan perkara yang buruk akan mendapat hukuman.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Al-Imam Al-Ghazali berkata dalam ihya Ulumuddin:


Semua perkara baik yang ditunjukkan oleh anak perlu dipuji dan dianugerahkan dengan balasan yang baik di hadapan khalayak ramai. Jika anak itu membuat perkara yang buruk, maka hendaklah dilupakan oleh ibubapa (seolah-olah tidak mengetahuinya). Janganlah mereka membuka aib si anak lebih-lebih lagi jika dia cuba menyembunyikannya kerana demikian menjadikan anak-anak tidak membuang keburukannya itu.
 
Slot yang pertama ini diakhiri dengan sesi soal jawab. Rata-rata guru-guru memberikan reaksi yang positif terhadap pengisian ini.
 
Hari Jumaat yang mulia dimulakan dengan Solat Subuh berjemaah, bacaan ma'thurat dan sedikit tazkirah subuh. Setelah itu, guru-guru menyegarkan badan dengan senaman erobik mengikut cawangan-cawangan tadika.
 
Slot yang kedua diisi oleh Cikgu Syahirah berkenaan dengan kaedah mengajar membaca. Walaupun guru-guru telah didedahkan dengan kaedah mengajar membaca ini pada kursus-kursus yang lalu, kursus kali ini adalah untuk memantapkan lagi penguasaan dan kemahiran guru-guru agar pembelajaran akan menjadi lebih efektif.
 
Masalah-masalah yang dihadapi di dalam kelas juga dapat dibincangkan dan diberi kaedah penyelesaian. Banyak pengalaman dan kaedah yang berkesan dapat dikongsi untuk panduan guru-guru. Kami amat mengharapkan kursus begini akan memantapkan lagi penguasaan guru-guru dan guru-guru dapat memperbaiki  lagi cara mengajar.
 
Pada slot yang terakhir, semua guru dihidangkan dengan rancangan "Nanny 911". Cerita yang memberi banyak pengetahuan secara praktikal untuk menangani anak-anak yang bermasalah. Kuncinya ialah KOMUNIKASI. Tidak perlu marah, tidak perlu menengking-nengking, tidak perlu kepada rotan dan sebagainya. Apa yang perlu hanyalah komunikasi yang sihat antara anak-anak dengan guru-guru atau ibu bapa.
 
Sesi ini berakhir dengan masing-masing bertukar-tukar pendapat dalam pendidikan anak-anak. Secara kesimpulannya, guru-guru menyedari bahawa, untuk melahirkan anak-anak yang berkualiti, para pendidik perlu mendidik dengan penuh kasih sayang dan berhikmah.
 
"GURU BERPRESTASI, PELAJAR BERKUALITI". Itulah harapan kami, moga kita dapat melahirkan anak-anak sebagaimana yang diimpi.