Thursday, July 29, 2010

Ajarkan anak-anak membaca dengan Kaedah Fonetik

"beh  aaaa bunyinya ba" Begitulah caranya Cikgu Nor mengajar pelajarnya

Satu petang, saya menerima panggilan dari seorang ibu.

"Cikgu, kenapa anak saya tak kenal lagi huruf a,b,c? Saya risau la tengok perkembangan dia, tak sama dengan kakak dia masa umur enam tahun dulu... Lagipun dia kan dah masuk tadika sejak tahun lepas. Macammana ye cikgu?" Ibu tersebut meluahkan kebimbangannya terhadap anak beliau yang berusia 5 tahun setelah kami saling berbalas salam.

"Puan, Tadika Nursyifa memang tidak mengajar anak-anak untuk mengenal huruf. Kami mengajar mereka menggunakan kaedah fonetik, iaitu gabungan bunyi. Tetapi puan jangan risau, walaupun kami tidak kenalkan dia dengan nama-nama huruf tersebut, sampai masanya dia akan kenal sendiri. Apa yang penting sekarang ialah, kami mahu anak-anak boleh membaca. Sama ada dia tahu huruf tersebut huruf a atau b itu tidaklah terlalu penting." Jelas saya panjang lebar.

Kaedah Fonetik

Semenjak saya mengusahakan tadika ini pada tahun 2004, bukan sedikit saya mendengar keluhan ibu bapa yang bimbang kerana anak mereka tidak kenal huruf. Ramai yang bimbang anak-anak tidak boleh membaca kerana tidak mengenal huruf. Sedangkan, berdasarkan pengalaman saya, anak-anak yang telah memahami konsep penggabungan bunyi bukan sahaja boleh membaca bahasa Melayu, bahkan dengan mudah boleh membaca Bahasa Inggeris dan Jawi

Disini ingin saya kongsikan kenapa kami menggunakan kaedah Fonetik dan beberapa larangan ketika mengajar anak-anak membaca yang saya petik dari laman web penulis buku Bacalah Anakku ( http://readnetwork.com/ )

Sudahkah anak anda bersedia untuk belajar membaca? Sebagaimana yang dijelaskan pada isu lepas, anak-anak yang diberi rangsangan yang sesuai akan bersedia untuk belajar membaca seawal usia 3 tahun. Bagaimanapun, apakah kaedah yang sesuai dengan anak-anak anda? Kaedah mengeja? Jangan. Kaedah suku kata? Tidak juga. Gunakanlah kaedah fonetik.



Mengapa? Kaedah fonetik adalah kaedah yang paling sesuai dengan kanak-kanak kerana kaedah ini telah dibuktikan secara saintifik sebagai kaedah otak manusia membaca. Kajian telah menunjukkan bahawa otak membaca dengan memecahkan perkataan yang dilihat kepada bunyi-bunyi, lalu otak membunyikan huruf-huruf yang dilihat bagi menyebut atau membaca perkataan itu. Kaedah lain bukan sahaja tidak sesuai untuk kanak-kanak bahkan menyusahkan mereka, lambat, mengelirukan dan membebankan memori.



Ada beberapa perkara JANGAN yang perlu ibu bapa tahu supaya tidak menyusahkan anak-anak apabila mengajar membaca.


1.  JANGAN ajar nama-nama huruf contohnya ‘ei’ untuk huruf ‘a’, ‘bi’ untuk huruf ‘b’ dan seterusnya kerana anak-anak yang tahu nama-nama huruf tidak semestinya dapat membaca. Bahkan mengajar mengenal nama huruf a, b, c adalah halangan pertama membaca.


2.  JANGAN ajar anak mengeja-eja huruf pada perkataan-perkataan yang dilihat kerana mengeja melibatkan dua proses iaitu menyebut nama huruf dan membatang pola-pola ejaan.


3.  JANGAN ajar anak mengenal bunyi huruf sambil mengenalkan nama huruf sekaligus, contohnya seperti menyebut ‘ei’ (huruf ‘a’) bunyinya ‘a’ kerana anak tidak perlu tahu nama huruf untuk membaca.


4.  JANGAN ajar anak menghafal mana-mana suku kata atau perkataan apabila mula mengenal perkataan kerana kanak-kanak akan terbeban dengan ratusan pola-pola ejaan yang menyukarkan.


5. JANGAN ajar huruf-huruf besar dahulu kepada kanak-kanak kerana huruf besar tidak penting kepada kanak-kanak pada peringkat awal.

Kepada ibu bapa, usahlah menguji anak anda dengan bertanyakan No Pendaftaran Kereta. Jangan pula menyuruh mereka membaca surat khabar yang tulisannya agak jauh berbeza dengan buku bacaannya. Ujilah dengan bahan yang sesuai dengan tahap mereka.

Kami menyediakan lembaran kemajuan yang dicatatkan setiap hari, maka kami sangat mengalu-alukan sekiranya ada ibu bapa yang ingin melihatnya.

Berilah kepercayaan kepada guru-guru. Berilah kepercayaan kepada anak-anak. Bersabarlah dalam mengikuti perkembangan mereka.

Jika ibu bapa ingin melihat perkembangan yang lebih memberangsangkan, ulangkaji membaca di rumah amatlah diperlukan. Janganlah mengajar anak-anak mengeja, tetapi ajarlah anak-anak menggunakan kaedah yang serupa di tadika iaitu kaedah fonetik.

Saya memahami kebimbangan ibu bapa, dan seharusnya ibu bapa juga perlu memahami bahawa guru-guru sedang dan sentiasa memberikan yang terbaik untuk anak-anak kita. Jika ibu bapa sangat mementingkan kecemerlangan mereka, kami begitu juga kerana...

KAMI JUGA IBU BAPA SEPERTI ANDA...

Tuesday, July 20, 2010

Sekitar Hari Sukan Tadika Nursyifa

Sesi pendaftaran bermula jam 8.30 pagi  


Ooooops... Bagi stabil dulu dik!

Nak lawan saya? Ada berani???

Ish... pasal apa la bola ni taknak ikut saya .....

Pertandingan jalan itik berganti-ganti... Anak-anak ni memang comel!
Eh! Sempat lagi possing? Cepat! Nak menang ni!!!

Saturday, July 17, 2010

Ibu bapa = Doktor / Arkitek / Jurutera ???

Eh! Kenapa pulak mak bapak sama dengan doktor? Mungkin itu lah persoalan yang akan timbul di benak kita. Apa yang saya maksudkan, bukanlah profesyen itu secara fizikalnya, tetapi saya ingin menyentuh tentang profesioanalisme dalam memikul beban tugas yang di amanahkan.

Jika nak jadi doktor, setiap orang mesti melalui tempoh pendidikan yang panjang. Mungkin menjangkau enam tujuh tahun.

Jika nak jadi arkitek, macam-macam kemahiran yang perlu ada dalam diri seseorang.

Jika nak jadi Jurutera, aduhai... bukan calang-calang orang yang boleh mendapat 'title' jurutera.

Susah, memang susah. Ia memang tugas yang mencabar.

Namun jika kita berfikir berkali-kali tentang tugas sebagai ibu bapa sebenarnya ia lebih-lebih lagi mencabar.

Kalau doktor tugasnya mengubati penyakit, ibu bapa perlu terlebih dahulu mencegahnya. Jika arkitek kerjanya membina bangunan, ibu bapa kerjanya membina insan. Jika jurutera mungkin tugasnya menyelenggara mesin, tetapi ibu bapa perlu menyelenggara manusia yang jauh lebih kompleks.

Bukankah tugas ibu bapa itu lebih menuntut kepada profesioanalisme?

Sebenarnya tugas ibubapa adalah tugas yang profesioanal yang memerlukan kepada ilmu, kemahiran dan sikap yang tertentu.

Bila diperhatikan disekeliling kita, ramai yang berjaya dalam karier. Sayangnya gagal dalam menguruskan rumah tangga.

Kenapa ini terjadi? Mungkin kerana kita menganggap bahawa sesiapa saja boleh jadi ibu bapa. Jadi ibu bapa yang macam mana suka hati kita sahaja. Sedangkan realitinya, kita perlu menjadi ibu bapa yang profesioanal agar manusia yang kita bangunkan adalah manusia yang teguh jati dirinya.

Oleh itu, jangan ambil mudah tugas kita sebagai ibu bapa. Ilmu dan kemahiran perlu sentiasa ditingkatkan kerana kita bukanlah sedang berhadapan dengan mesin yang boleh dicari alatganti jika rosak. Bahkan kita sedang membina insan yang perlu didikan yang terancang agar ia menjadi insan yang memberi manfaat kepada seluruh alam.

Maka, sama-sama kita menjadi ibu bapa yang profesional dengan memperbanyakkan usaha menuntut ilmu dan menambah kemahiran sebagai ibu bapa yang mithali.

Ingatlah, anak-anak tidak dapat ditukar ganti. Jika betul dan elok didikan kita, maka insya Allah indahlah hasilnya. Namun sekiranya setelah kita telah berusaha sehabis daya, tetapi anak tidak menjadi juga, pada masa itu bertawakkallah hanya kepada-Nya.

Wallahua'lam