Wednesday, November 11, 2009

Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah





Pelajar 6 tahun sedang menunggu nama dipanggil untuk penerimaan sijil. Masing-masing comel berjubah konvo

Alhamdulillah, pada sabtu yang lalu bersamaan 7 November 2009, Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah Tadika Nursyifa telah berlangsung dengan jayanya.



Pelajar-pelajar cemerlang mendapat hadiah dan pingat masing-masing. Jelas terpancar kegembiraan di wajah mereka dan ibu bapa tercinta. Tetapi apa yang seronok semua dapat hadiah sebagai tanda penghargaan tadika kepada semua pelajar-pelajar.



Acara yang lebih mengujakan ialah persembahan dari para pelajar. 7 persembahan telah disaksikan oleh ibu bapa. Antaranya ialah Koir, Fashion Show, Nashid dan sajak. Semuanya memperlihatkan bakat-bakat yang terpendam.



Kelihatan ibu bapa asyik menonton persembahan-persembahan tersebut. Malahan ada yang mengalirkan air mata ketika anak-anak menyanyikan nashid yang berjudul "Anak Soleh".

Persembahan koir dari pelajar Tadika Nursyifa (cawangan Taman Tunku Sarina). Memang bersemangat bila mereka nyanyikan lagu "Nyalakan Tekad". Mendapat tepukan paling gemuruh dari ibu bapa dan penonton.

Terima kasih anak-anak, terima kasih para waris dan terima kasih kepada guru-guru kerana menjayakan majlis ini.





Tuesday, November 10, 2009

Kesian, terima kasih!




Aksi pelajar -pelajar ketika membuat persembahan di Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah, Tadika Nursyifa pada 7 November yang lalu.


"Ibu, nak yuyu!" Suara humaira menyentuh gegendang telinga saya meminta susu. Ketika itu dia baru setahun setengah. Baru dapat mulut, kata orang tua-tua.


"Eh... Bukan yuyu la sayang, suusu..." Saya betulkan bahasanya.


Suatu hari, ketika kami melewati tasik, kelihatan beberapa orang penunggang kuda sedang bersiar-siar di sekitar kawasan itu.


"Humaira! Humaira! Cuba tengok tu! Apa tu?" Jerit suami saya, menarik perhatian si anak kecil. Humaira' yang terkejut, terus melihat ke arah yang ditunjukkan ayahnya.


"Hah tuda, tuda!" Jawab si anak.


"Mmm kuda tu ada dua ekor la..." Saya menambah.


Setelah kuda itu hilang dari pandangan maka bermula lagi sesi pembelajaran bahasa di dalam kereta yang sering kami lakukan secara santai dengan humaira, anak kesayangan kami itu.


"Mmmm... tadi humaira nampak apa ye?" Saya mula bertanya semula


"Tadi kan ibuuuu... merro' nampak tudaaa..."


"Eh... Bukan tuda... Kudaaaaaa!" Suami saya membetulkan sebutan kudanya itu.


Begitulah rutin kami, jika dia tersalah sebut, kami akan betulkannya serta merta. Lalu Humaira' belajar setiap masa. Belajar mengenal benda, belajar menyebutnya.


Alhamdulillah, dengan kebijakan yang Allah kurniakan dan dengan kelas kehidupan yang dilaluinya saban hari, seawal dua tahun lebih, Humaira' boleh berbicara dan bercerita dengan bahasa yang yang cantik tanpa pelat yang mengelirukan.


Bahkan ketika kami pulang ke kampung, ramai yang mengatakan Humaira' bercakap seperti budak 5 tahun, sedangkan umurnya masih setahun jagung. Alhamdulillah...


Otey!


Saya kasihan melihat anak-anak yang sudah seusia humaira', tapi bicaranya pelat. Bukan kerana anak itu tidak pandai, tetapi kerana seisi keluarga melayani pelatnya sehingga dia beranggapan bahawa bahasa yang digunakan itu betul dan sempurna.


"Abah! amik tuti... amik tuti..." Anak kecil itu menjerit ke arah ayahnya


Saya yang berada di situ mengangkat kening, tak faham apa yang dikata, lantas bertanya kepada ibunya apa yang diperkata.


"Ooooh... dia suruh abah dia ambil kerusi" Jelas ibunya. Anak itu seusia humaira', tetapi banyak bicaranya yang tak berbutir. Kalau dia bercakap dengan saya, pasti saya terpaksa meminta terjemahan dari kakak atau abang-abangnya.


"Nina tolang kakpah ambil beg baby boleh?" Saya sengaja meminta dia membantu saya. Harapan saya dia memahami bilah perkataan saya.


Dia merenung wajah saya, lalu saya tunjukkan beg khadijah hanan kepadanya.


"Oooooo Otey!" Lantas dia berlari-lari mengambil beg itu dan memberi kepada saya.


"Terima kasih" Ujar saya berbahasa.


"Tama-tama..." Balasnya pula.


Saya tertanya-tanya kenapa lah anak ini sangat pelat butir bicaranya. Banyak yang tidak difahami. Ramai yang tercengang-cengang bila dia berkata-kata. Banyak juga perkara yang tak sampai kerana ketidak fasihannya itu. Kesian saya melihatnya.


Ibubapa main peranan


Anak-anak dilahirkan dengan potensi yang berbeza-beza. Sama ada potensi itu akan bersinar atau tidak, ibubapa punya peranannya. Jika anak-anak kecil ini dilayan pelatnya. "Time tayeh" dibalas "Tame-tame" bagaimana anak-anak ini boleh belajar memperbaiki percakapannya.


Memang pelat dibalas pelat itu didengar comel, tetapi saya bimbang jika ia akan memadam atau menggelapkan potensi anak itu. Jika umur empat tahun masih pelat yang berat, bagaimana kita nak kenalkannya dengan huruf-huruf a,b, c atau alif, ba, ta? Hasilnya anak-anak kecil yang tak tahu apa-apa ini akan ketinggalan berbanding anak-anak lain.


Sebenarnya, cukup sukar mengajar anak yang yang pelat ini membaca. Apakan tidak, jika 'sa' itu dibunyikan seperti 'ta', 'ka' juga dibunyikan 'ta'... Memang peninglah guru-guru dibuatnya.


Begitu juga ketika mengajar Iqra. ta, ka, tsa tidak dapat dibunyikan dengan baik, semuanya dengar seperti sama, maka anak itu akan mengambil masa yang lama untuk mengkhatam muka surat yang mengajar huruf 'tha'...


Memang sukar, memang payah. Dek kerana layanan manja ibubapa terhadap bahasa comelnya itu (pelat). Akhirnya anak-anak ini lambat perkembangannya.


Lambat membaca, sukar menghafal, dan yang paling ketara ialah komunikasi dengan rakan-rakan dan guru-guru juga banyak terganggu kerana masing-masing tidak memahami kata-katanya.


Jika perkara ini berterusan, bagaimana anak-anak ini ingin meluahkan perasaannya? Semasa dia meluahkan perasaannya, bukan perasaannya yang dilayan tetapi bahasanya terpaksa dibuat terjemahan. Orang yang menjadi pendengar terpaksa memerah otak memahami bilah katanya, sehingga emosi dan perasaan terbiar begitu sahaja.


Aduhai, ibu dan bapa... Betulkan lidah anakmu sewaktu masih kecil, kerana bila mereka meningkat usia, bahasa pelat sudah terbiasa, bukan mudah nak dibetulkannya.


Aduhai guru-guru, bersabarlah menghadapinya.


"Ibu, tadi kaaan.. Ahla dia bersajak, pastu dia kata 'kesian, terima kasih!'" Humaira bercerita dengan saya sambil menundukkan kepalanya meniru perbuatan rakannya.


"Bukan kesianlah sayang... Sekian.... Sekian, Terima Kasih" Terang ayahnya


Kah kah kah... Saya dah tak dapat menahan tawa. Akhirnya tawa kami pecah jua...


Begitulah humaira' sentiasa belajar tak kira tempat, tak kira masa. Moga terus maju jaya!

Tuesday, November 3, 2009

cadangan ibubapa akan kami laksanakan

Setelah saya meneliti semua borang soal selidik kepuasan pelanggan Tadika Nursyifa saya dapat rumuskan beberapa perkara yang dicadangkan oleh para waris. Kebanyakkan mereka meminta saya laksanakan 3 perkara:

1. Memberikan kerja rumah kepada pelajar agar ibu bapa dapat mengetahui apa yang dipelajari oleh anak-anak.

2. Menyediakan dan memberikan laporan prestasi pelajar secara berkala sejak awal tahun lagi

3. Meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar-pelajar.

Setelah berbincang dengan guru-guru dan pengelola tadika, kami telah membuat beberapa keputusan bagi memenuhi permintaan ibu bapa dan ianya mestilah bersesuaian dengan pelajar-pelajar.

1. Kerja rumah akan diberikan hanya seminggu sekali iaitu pada hari khamis. Kenapa hanya sekali seminggu? ini jawapannya:

a. Anak-anak secara fitrahnya tidak suka ditekan-tekan. Jadi pihak tadika tidak mahu memberi tekanan yang melampau dengan kerja-kerja rumah yang banyak. Jika terlampau banyak kami bimbang jika anak-anak mudah bosan dan mula tidak mahu ke sekolah.

b. Jika ibu bapa rasa ia masih belum cukup, kami memohon jasa baik dan kerjasama dari ibu bapa untuk membeli buku latihan tambahan kepada anak-anak.

2. Kertas laporan prestasi pelajar-pelajar akan diberikan pada setiap hujung bulan.

3. Sebenarnya apa yang kami berikan adalah level kanak-kanak tadika. Mengikut pengalaman saya, anak-anak di bawah 7 tahun hanya perlu di dedahkan dengan perbendaharaan kata yang banyak. Jadi penekanan kami di tadika adalah menjurus ke arah itu.

Setakat ini, perkara-perkara akan kami usahakan dengan bersungguh. Mudah-mudahan ia akan memberikan sedikit kelegaan kepada ibu bapa. Wallahua'lam

Sunday, November 1, 2009

Report Day

Alhamdulillah saya rafa'kan ke hadrat Allah Rabbul Jalil atas kurnianya memudahkan Hari Laporan Prestasi Pelajar Tadika Nursyifa pada Jumaat yang lalu. Dengan kehadiran ibu bapa yang responsif, saya amat berterima kasih atas kerjasama semua waris.

Saya juga rasa sangat gembira bila ramai ibu bapa yang begitu teruja dengan perkembangan yang telah ditunjukkan oleh anak masing-masing.

Anak-anak kecil yang datang ke Tadika dengan minda yang kosong kini menjadi seorang kanak-kanak boleh membaca, menulis dan mengira. Mereka juga boleh membaca doa-doa dan surah-surah pendek. Bukan ibu bapa sahaja yang teruja sebenarnya, saya lebih lagi.

Saya bersyukur kerana dengan usaha guru-guru dan kesungguhan anak-anak itu, sekarang ia telah menunjukkan hasil. Well done!

Terima kasih juga saya ucapkan kepada ibu bapa yang telah memberi komen serta cadangan di dalam Borang soal selidik yang telah diedarkan. Saya amat-amat menghargainya, dan Insya Allah segala cadangan dan komen akan saya ambil tindakan.

Sekali lagi, terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada kami. Semoga usaha ini akan terus berjalan dan kami dapat terus melahirkan anak-anak yang cemerlang dan gemilang. Amiiin...