Sunday, November 7, 2010

Kita hanya merancang, Allah jualah yang menentukan

Sesungguhnya, manusia ini amatlah lemah. Apa yang dirancang masih berada di bawah ketentuan Allah s.w.t yang Maha Kuasa, Maha Bijaksana.

Begitulah yang terjadi dengan Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah Tadika Nursyifa 2010 yang dijadualkan pada 6 November 2010 terpaksa ditangguhkan lantaran banjir yang melanda utara tanah air. Dewan telah ditempah, surat jemputan telah diedar, mesyuarat telah dibuat, hadiah dan sijil telah tersedia, anak-anak juga telah dilatih untuk menjayakan hari yang bermakna tersebut.

Namun, kekuasaan Allah telah mengatasi perancangan hambaNya yang kerdil ini. Dewan ditenggelami air bah setinggi satu kaki menyebabkan lumpur yang terpaksa mengambil masa untuk dibersihkan, piala-piala dihanyutkan air (sebab kedai pun tenggelam sama), pelajar-pelajar lari balik ke kampung untuk menyelamatkan diri dari banjir, malahan apa yang lebih menyedihkan guru-guru dan ibubapa serta pelajar ada yang terlibat secara langsung dengan banjir kerana rumah mereka dilanda banjir.

Mudah-mudahan Allah akan mengurniakan kesabaran kepada kita semua atas ujian ini.

Kami di pihak Tadika Nursyifa sedang menyusun kembali perancangan. Ada kemungkinan majlis tersebut terpaksa dibuat malam kerana dewan yang telah ditempah oleh pihak lain pada minggu yang berikutnya. Moga Allah memudahkan dan Allah membantu kami menjayakan majlis tersebut.

Sesungguhnya, mungkin kita merasa sesuatu itu buruk bagi kita tetapi sebenarnya ia baik bagi kita. Dan mungkin juga kita merasa sesuatu itu baik bagi kita tetapi sebenarnya ia buruk bagi kita. Namun bagi orang-orang yang beriman, hanya kepada Allah kita bertawakkal.