Tuesday, October 26, 2010

Adil

Situasi 1


“Along! Kenapa pukul adik?” Marah si ibu dari dapur yang mendengar anak bongsu yang sedang bermain dengan abangnya menangis, lalu ibunya pantas meninggalkan masakan di atas dapur yang masih menyala lalu mendapatkan anak sulungnya yang berumur lima tahun.

“Pap!” satu tamparan diberikan ke punggung anak sulungnya itu. Si abang yang tidak bersalah termangu-mangu kerana tiba-tiba mendapat habuan sedangkan adiknya menangis kerana terjatuh lantaran air yang berlinang di atas lantai.

Situasi 2

“Along, kenapa kedekut sangat ni? Bagi mainan tu kepada adik sekarang!” Arah si bapa yang tadinya sedang bersenang-senang membaca surat khabar di atas sofa terganggu kerana jeritan anak bongsunya inginkan permainan yang sedang dimain oleh abangnya.

Si abang yang sedang seronok bermain masih memegang kejap kereta lumba kegemarannya. Adik terjerit-jerit ditambah dengan tangisan yang menyesakkan telinga. Si ayah yang tidak sabar lagi melihat karenah anak-anak merampas kereta lumba yang berada di tangan si abang lalu diserahkan kepada si adik.

“Tak reti nak mengalah langsung!” Bentak ayah kepada anaknya yang sulung

Adik yang mendapat mainan mengunjing si abang sambil menjelirkan lidah tanda kemenangan berpihak kepadanya. Merah padam muka si abang menahan kemarahan. Terluka hatinya bila diperlakukan sebegitu.

Situasi 3

“Ibu, adik gigit tangan abang” Adu si abang sambil menunjukkan tangannya yang kemerahan kesan gigitan adiknya.

“Alah! Tak ada apa-apa pun, adik kan masih kecil! Sakit sikit pun tak boleh!” Balas si ibu dalam nada yang cukup menjengkelkan, si ibu langsung tidak melihat tangan si abang tetapi terus menjahit pakaian yang ditempah oleh pelanggan tetapnya.

Abang yang kesakitan berlalu pergi tanpa sebarang kata.

Situasi 4

“Uwaaa… Uwaaa… Nak coklat kakak! Nak coklat kakak!” Si adik menangis sambil menghentak-hantak kaki meminta coklat yang sedang di makan oleh kakaknya.

“Kakak beri coklat tu kepada adik! Kakak kan dah besar!” Si ibu mengeluarkan arahan menyuruh kakak beralah.

“Ni kakak punya, adik dah habiskan coklat dia.” Kakak membela diri, mempertahankan haknya.

“Ish! Bagi je lah kepada adik, nanti suruh ayah beli yang lain nanti!” Tidak semena-mena ibu tersebut mengambil coklat dari tangan kakak dan menyerahkan kepada adik yang masih menangis.

“Huh! Ibu memang tak adil!” Bentak kakak, namun bentakan tersebut hanya bergema di dalam hatinya.

****

Situasi-situasi di atas memang selalu berlaku di dalam kehidupan keluarga kita. Kebanyakan daripada kita sering meletakkan kesalahan kepada anak yang lebih tua dan memenangkan anak yang lebih muda. Yang tua diminta beralah walaupun dia tidak bersalah. Yang tua dinafikan haknya demi memenuhi kehendak si kecil.

Tahukah kita bahawa jika kita bertindak sedemikian sebenarnya kita telah melukakan hati anak kita yang lebih tua itu. Bahkan perbuatan kita bakal menimbulkan persengketaan besar antara mereka. Si abang atau kakak akan manaruh dendam terhadap adik mereka, kerana apa jua yang berlaku pasti mereka akan diletakkan di dalam kandang tertuduh tanpa diberi peluang membela diri. Kita membuatkannya merasa tidak istimewa menjadi seorang kakak atau abang. Lama-kelamaan, dendam yang terpendam akan menjadi persengketaan yang panjang antara adik dan abang, juga menjadi punca pergaduhan antara adik dan kakak.

Si abang akan mencari masa untuk membalas dendam kerana adiknya menjadi faktor utama dia dimarahi dan disakiti. Tiada rasa kasih sayang kepada adik-adiknya lagi kerana pada pandangannya, adik-adik akan mendatangkan masalah buatnya. Tiada lagi prihatin tatkala adik terjatuh, lebih baik dia lari meninggalkannya daripada tidak pasal-pasal dibantai pula oleh ibu dan bapa yang terburu-buru menghukumnya. Lebih baik dimakan habis gula-gulanya, daripada nanti haknya akan dirampas pula. Adik-adik akan dipukul jika tidak puas hati melanda, kerana begitulah yang ditunjukkan oleh ibu dan bapa mereka. Adik dan abang atau adik dan kakak tidak lagi seperti isi dan kuku, tidak lagi seperti aur dengan tebing. Bahkan akan menjadi seperti anjing dan kucing yang sering bercakaran. Persengketaan yang tiada kesudahan.

Bukankah lebih baik jika terdengar anak yang kecil menangis kesakitan, ibu atau bapa menyiasat terlebih dahulu punca kejadian.

“Abang, apa yang terjadi ni?” Tanya ibu kepada si abang yang cuba membantu adik yang sedang kesakitan dengan nada lembut.

“Tadi adik terjatuh sebab ada air atas lantai ibu.” Kata si abang jujur

“Oh ye ke… Abang tolong ambilkan kain di dapur untuk lap air ni boleh? Takut-takut nanti adik terjatuh lagi.” Kata si ibu sambil menggosok-gosok kepala adik yang masih sakit itu.

“Baiklah ibu.” Si abang dengan senang hati ke dapur sebagaimana yang diminta ibu. Hatinya senang kerana ibu tidak menuduhnya perkara yang tidak dia lakukan, bahkan mungkin pada masa akan datang dia akan lebih prihatin jika ada air yang berlinang di atas lantai.

***

Sekiranya si adik inginkan apa yang sedang dipegang atau dimain oleh si abang atau si kakak, bukankah lebih baik jika begini.

“Nak patung kakak! Nak patung kakak!” si adik meraung-raung sambil menarik patung Barbie kesayangan kakak.

“Kakak, boleh beri adik pinjam patung kakak tu?” Si ibu cuba bernegosiasi dengan kakak

“Mmm, kakak baru sahaja main, kakak nak main lagi dengan patung ni…” Rayu si kakak.

“Jom adik! Kita makan aiskrim di dapur!” Kata si ibu lantas mendukung adik yang masih menangis hendakkan mainan kakaknya. Tetapi setelah ditunjukkan sesuatu yang lebih menarik perhatiannya, dia seronok dan tidak lagi teringatkan patung yang sedang dimain oleh kakaknya.

Kakak yang sudah puas bermain, akhirnya dengan senang hati memberi peluang kepada adiknya untuk bermain bersama atau dia akan memberi patung tersebut kepada adiknya kerana hendak menikmati aiskrim adiknya juga. Apa yang penting, jika anak-anak sedang berebutkan sesuatu, larikan fokus salah seorang daripada mereka kepada benda lain, dan jauhkan mereka dari tempat perebutan, Insya Allah, tiada pergaduhan.

****

Sekiranya adik berbuat nakal terhadap abang atau kakaknya, janganlah kita menyebelahinya. Yang salah tetap salah dan harus diperbetulkan dan yang benar tetap benar serta harus mendapat pembelaan.

“Huhuhu… Ibu, adik gigit abang.” Adu si abang dengan air mata berjujuran

“Ya Allah! Kenapa adik gigit abang ni? Mari sini ibu tengok!” Si ibu membelek-belek tangan abang.

“Adik tu, dia ambil mainan abang, lepas tu abang ambillah semula, tiba-tiba dia gigit abang.” Terang si abang panjang

“Oh begitu, mmm adik, adik tak boleh buat macam ni tau. Kalau nak mainan abang, minta elok-elok, tak boleh rampas-rampas. Dan, tak boleh gigit abang kalau abang tak bagi adik. Sekarang minta maaf dengan abang. Salam abang cepat!” Si ibu menasihati adik yang ternyata melakukan kesalahan dan mendorong adik meminta maaf daripada abangnya.

“Abang pula, kalau adik nak main, mainlah sama-sama ya. Adik dah minta maaf tu, abang maafkan adik ya!” Si ibu tidak lupa menasihati si abang supaya sama-sama memperbaiki akhlaknya. Adik dan abang menyedari kesalahan masing-masing dan mempelajari bagaimana untuk menghadapi masalah yang sama pada masa akan datang.

Di dalam buku Anakku Hebat, Anakku Soleh karangan Ustaz Zahazan Mohamed, beliau telah memberikan lima kesan buruk daripada sikap pilih kasih:

1. Tekanan perasaa, sakit hati, benci dan cemburu sesama anak-anak. Maka rukun kekuatan keluarga sudah mula goyang dan seterusnya runtuh kerana menafikan roh keadilan dalam islam

2. Anak-anak akan melakukan apa sahaja demi membuatkan dirinya turut disayangi. Ibu bapa yang mengamalkan sikap ini sebenarnya telah menyalakan api.

3. Perbuatan membezakan anak-anak adalah sikap yang zalim dan secara tidak langsung melatih anak untuk bersikap memusuhi dan membenci orang lain

4. Memberi kesan yang mendalam terhadap perasaan anak. Tidak kira sikap itu berlaku pada pemberian atau pada pergaulan

5. Mengakibatkan anak-anak bersedih dan bergaduh sesama mereka. Perkara-perkara seumpama ini menyebabkan gangguan-gangguan ketika tidur yang berbentuk mimpi menakutkan dan sebagainya.

Anak-anak mempunyai perangai dan gelagat yang berbagai. Oleh itu, ibu bapa harus bijak menangani, sekiranya kita tersalah cara mengawalnya, kita bukan sahaja tidak memperbaiki keadaaan malah akan lebih memburukkannya. Letakkanlah sesuatu perkara di tempatnya agar kita berlaku adil di mata anak-anak dan tidak dikatakan sebagai pilih kasih.

No comments: