Sunday, April 18, 2010

Kawallah kotak hitam di rumahmu...

Sejak saya menguruskan tadika ini sejak tahun 2004, banyak perkara yang saya lalui. Ada yang menggembirakan, ada yang mengujakan, ada yang menyedihkan dan ada juga yang membimbangkan. Di sini saya ingin berkongsi salah satu perkara yang agak saya bimbangkan.

Mudah-mudahan ia memberi manfaat. Jika kita menghadapi masalah sama, diharapkan kita dapat segera memperbaikinya. Sementara anak-anak masih kecil dan masih rebung, insya Allah masih mudah dilentur. Usah menanti mereka menjadi buluh, ia sudah keras dan liat, amat sukar untuk dibentuk.

- Suka berkhayal, seolah-olah berada dalam dunia yang terasing dengan orang lain
- Sering bercakap sendirian
- Suka bercerita, tetapi amat sukar difahami
- Selalu tidur di dalam kelas
- Sukar memahami apa yang cikgu-cikgu cakap

Begitulah gambaran yang telah diberitahu oleh guru kepada pelajar ini. Ketika saya mendengarnya, saya sudah boleh agak apa masalah pelajar ini.

Telahan saya - Pelajar ini terlampau suka mononton televisyen. Saya minta guru-guru bertanya kepada ibu bapanya dan benarlah tekaan saya, anak ini memang suka menonton televisyen.

Menurut ibunya, anak ini akan tidur awal, kemudian bangun pada dua atau tiga pagi dan menonton televisyen. Saya agak mungkin dia akan tengok televisyen hingga ke pagi, maka tidak hairanlah jika dia akan tertidur sepanjang kelas berlangsung. Dia tidak akan mendapat apa-apa dan masanya akan berlalu begitu sahaja.

Cikgu pun dah buntu, bagaimana nak bagi dia berjaga. Hinggakan suruh menulis dalam keadaan berdiri pun dia akan tidur. Masya Allah memang kritikal!

Keadaan ini perlu diperbaiki. Jika tidak ia akan menjadi tabiat yang akan dibawa sehingga remaja dan dewasa. Ketagih menonton televisyen!

Usah memandang remeh masalah ini. Masalah ini bakal menentukan siapa anak kita, masalah ini bakal menentukan bagaimana anak kita nanti.

Waktu sebegitu anak-anak dibiarkan menonton televisyen sedangkan ibu bapa lena dibuai mimpi. Jadi siapakah yang akan mengawal apa yang ditonton anak-anak? Tambahan pula dengan kemudahan astro yang ada macam-macam. Mmmm... Ia adalah satu tabiat yang sangat berbahaya dan perlu dibendung segera.

Di sini saya ingin berkongsi tentang bagaimana mengawal anak dari kotak hitam empat segi yang pasti ada di setiap rumah itu (TV la tu...).

1. Urus masa menonton
    - Masa menonton perlulah dihadkan.
    - Hanya rancangan-rancangan yang baik sahaja dibenarkan.
    - Jika anak-anak menonton televisyen lebih daripada dua jam sehari maka ia adalah pengurusan masa
      yang sangat tidak efisyen
    - Disiplinkan anak-anak dalam menguruskan masa menonton. Ibu bapa minta anak-anak tutup tv setelah
       rancangan yang dibenarkan itu tamat. Lama kelamaan anak-anak akan faham bahawa dia tidak boleh
       menonton televisyen ikut suka hati mereka.

2. Sediakan aktiviti yang lebih menarik
    -Jika anak-anak agak liat untuk 'melarikan diri' dari televisyen, ajak anak-anak buat aktiviti lain yang lebih menyeronokkan.  
     Contohnya: Jika waktu petang, ajak pergi padang permainan atau main basikal. Jika malam, mungkin     boleh ajak dia menggunting kertas, atau buat 'art and craft' atau membaca buku cerita. Ini memerlukan pengorbanan ibubapa kerana ibu bapa terpaksa mengambil bahagian dalam aktiviti anak-anak.
    - Ibu bapa juga boleh mengajak anak-anak bermain permainan yang menguji minda seperti catur, saidina dan sebagainya.

3. Menonton bersama anak-anak
    - menonton bersama anak-anak sambil berbual tentang apa yang ditonton, jika baik perbuatan si pelakon, maka pujilah dan galakkan anak melakukannya. Jika tidak baik, katakan kepada anak perkara itu tidak baik dan tidak boleh dilakukan.
    - jika ada adegan-adegan yang tidak soleh (lucah, ganas, tahyul atau sebagainya) minta anak-anak tukar ke saluran lain. Semasa menonton ibu bapa berperanan untuk menimbulkan kesedaran akhlak dan moral supaya waktu menonton menjadi satu sesi tarbiyah tidak langsung terhadap anak-anak. Jadi anak-anak tidak akan menerima semua yang ditonton oleh mereka. Lambat laun anak-anak boleh menapis unsur baik untuk diserap, unsur tidak baik akan dibuang.

4. Elakkan cerita yang tidak baik
    Elakkan cerita-cerita ganas, hantu dan cerita yang memaparkan akhlak yang tidak baik seperti pergaulan bebas. Cerita sebegini akan memberi impak yang negatif kepada anak-anak. Mereka akan menjadi penakut, cepat marah dan banyak sifat negatif lain yang akan terbina dalam diri anak-anak kerana pengaruh rancangan yang ditonton.

5. Tempat televisyen
    - Letakkan televisyen di tempat yang kita boleh pantau tontonan anak-anak. Kawal 'remote control'. Jika diluar waktu menonton yang dibenarkan mungkin ibubapa boleh meletakkan kata laluan pada siaran televisyen tertentu.
    - meletakkan televisyen di dalam bilik anak-anak adalah tidak baik untuk anak-anak. Kita sukar mengawal masa dan rancangan yang ditonton mereka.
    - Tempatkan televisyen di tempat yang anak-anak tidak mudah melepak contohnya dalam bilik yang kecil atau di tingkat atas rumah jika ada. Semakin selesa tampat menonton, semakin tinggi kecenderungan mereka untuk membuang masa di hadapan televisyen.

Disamping itu, ibu bapa itu sendiri juga haruslah menghadkan masa menonton. Jadikanlah aktiviti menonton itu satu PILIHAN bukan KEBIASAAN.

Apa yang tertulis di atas hanyalah cadangan-cadangan yang mungkin boleh dilakukan. Ibu bapa boleh mencipta pelbagai lagi aktiviti yang boleh mengisi masa anak-anak. Apa yang penting, ibu bapa harus sedar bahawa tanggunjawab memantau anak-anak terletak di bahu kita, bukan pembantu rumah atau guru-guru di sekolah.

Sesungguhnya pendidikan pertama anak-anak  bermula dari rumah. Jika kita sebagai ibu bapa tidak berperanan. Maka siapakah lagi yang harus kita harapkan???

No comments: