Saturday, February 6, 2010

Saya juga ibu seperti anda!

Alhamdulillah, tengah hari tadi selesai sudah perjumpaan dengan ibu bapa. Banyak info-info yang dapat dikongsi bersama. Moga-moga ia memberi manfaat kepada ibu bapa yang bersungguh-sungguh meluangkan masa-masa cuti semata-mata demi kejayaan anak-anak.

Saya sangat menghargai kehadiran ibu bapa semua.

Perjumpaan sebegini adalah yang pertama sejak Tadika Nursyifa dibuka. Setelah hampir 6 tahun beroperasi, barulah kami berjaya mengadakannya. Banyak kekurangan dalam majlis tersebut, terutamanya kekurangan dalam penyampaian saya.

Sebenarnya, saya agak 'gabra' nak bercakap di hadapan ibu dan bapa. Maklumlah baru pertama kali mahu berinteraksi dengan ibu bapa dalam program yang khusus juga bersama ibubapa. Sehinggakan saya terlupa nak memperkenalkan diri dan Tadika Nursyifa.(Terima kasih hadirin yang menegur.)

Saya juga amat mengharapkan satu program yang interaktif dan 2 hala. Tetapi setelah dibincangkan semula dengan guru-guru dan penasihat saya (suami saya), saya rasa mungkin suasana dewan kurang sesuai untuk mengadakan program yang ada 'personal contact'.

Rasa jauh dengan hadirin. Saya harap program pada tahun-tahun akan datang dapat saya buat di dewan yang lebih kecil agar saya dan ibu bapa dapat berdialog dengan lebih baik untuk merancang dan berbincang tentang pendidikan anak-anak ini.

Saya amat teruja dengan respon dari ibu bapa tentang anak-anak mereka. Saya juga amat teruja dengan perhatian yang diberikan oleh ibu bapa dalam program ini. Walaupun saya agak kelam kabut dalam penyampaian, tetapi saya yakin (insya Allah) kita dapat berkongsi sedikit sebanyak tip-tip dalam usaha menggilap lagi potensi anak-anak kita.

Walaupun saya bercakap sebagai pengasas tadika, namun hakikatnya saya adalah ibu seperti anda juga. Ibu yang inginkan yang terbaik buat anak-anaknya. Bila melihat semangat yang ada pada ibu bapa. Saya menjadi lebih-lebih lagi bersemangat untuk merangka dan melaksanakan program yang terbaik buat semua.

Kini saya bukan sahaja ingin mendidik anak-anak, tetapi ingin sama mendidik ibu bapa agar anak-anak ini mendapat pentarbiyahan yang berkesinambungan di rumah dan sekolah. Tambahan pula anak-anak ini bukanlah selamanya di tadika. Maka peranan yang lebih besar terpikul di bahu para ibu dan bapa.

Bukan mudah mewarnakan kain putih dengan lukisan indah. Ia perlu kepada perancangan dan pelaksanaan yang betul. Jika tidak mungkin hasilnya hanya contengan-contengan yang memeningkan kepala.

Oleh itu, sama-sama kita berganding bahu dalam melakar potret indah ini, agar ia menjadi penyejuk mata, penawar di hati. Menjadi bekalan buat kita tatkala kita bertemu ilahi.

Wallahua'lam...

No comments: