Sunday, April 18, 2010

Kawallah kotak hitam di rumahmu...

Sejak saya menguruskan tadika ini sejak tahun 2004, banyak perkara yang saya lalui. Ada yang menggembirakan, ada yang mengujakan, ada yang menyedihkan dan ada juga yang membimbangkan. Di sini saya ingin berkongsi salah satu perkara yang agak saya bimbangkan.

Mudah-mudahan ia memberi manfaat. Jika kita menghadapi masalah sama, diharapkan kita dapat segera memperbaikinya. Sementara anak-anak masih kecil dan masih rebung, insya Allah masih mudah dilentur. Usah menanti mereka menjadi buluh, ia sudah keras dan liat, amat sukar untuk dibentuk.

- Suka berkhayal, seolah-olah berada dalam dunia yang terasing dengan orang lain
- Sering bercakap sendirian
- Suka bercerita, tetapi amat sukar difahami
- Selalu tidur di dalam kelas
- Sukar memahami apa yang cikgu-cikgu cakap

Begitulah gambaran yang telah diberitahu oleh guru kepada pelajar ini. Ketika saya mendengarnya, saya sudah boleh agak apa masalah pelajar ini.

Telahan saya - Pelajar ini terlampau suka mononton televisyen. Saya minta guru-guru bertanya kepada ibu bapanya dan benarlah tekaan saya, anak ini memang suka menonton televisyen.

Menurut ibunya, anak ini akan tidur awal, kemudian bangun pada dua atau tiga pagi dan menonton televisyen. Saya agak mungkin dia akan tengok televisyen hingga ke pagi, maka tidak hairanlah jika dia akan tertidur sepanjang kelas berlangsung. Dia tidak akan mendapat apa-apa dan masanya akan berlalu begitu sahaja.

Cikgu pun dah buntu, bagaimana nak bagi dia berjaga. Hinggakan suruh menulis dalam keadaan berdiri pun dia akan tidur. Masya Allah memang kritikal!

Keadaan ini perlu diperbaiki. Jika tidak ia akan menjadi tabiat yang akan dibawa sehingga remaja dan dewasa. Ketagih menonton televisyen!

Usah memandang remeh masalah ini. Masalah ini bakal menentukan siapa anak kita, masalah ini bakal menentukan bagaimana anak kita nanti.

Waktu sebegitu anak-anak dibiarkan menonton televisyen sedangkan ibu bapa lena dibuai mimpi. Jadi siapakah yang akan mengawal apa yang ditonton anak-anak? Tambahan pula dengan kemudahan astro yang ada macam-macam. Mmmm... Ia adalah satu tabiat yang sangat berbahaya dan perlu dibendung segera.

Di sini saya ingin berkongsi tentang bagaimana mengawal anak dari kotak hitam empat segi yang pasti ada di setiap rumah itu (TV la tu...).

1. Urus masa menonton
    - Masa menonton perlulah dihadkan.
    - Hanya rancangan-rancangan yang baik sahaja dibenarkan.
    - Jika anak-anak menonton televisyen lebih daripada dua jam sehari maka ia adalah pengurusan masa
      yang sangat tidak efisyen
    - Disiplinkan anak-anak dalam menguruskan masa menonton. Ibu bapa minta anak-anak tutup tv setelah
       rancangan yang dibenarkan itu tamat. Lama kelamaan anak-anak akan faham bahawa dia tidak boleh
       menonton televisyen ikut suka hati mereka.

2. Sediakan aktiviti yang lebih menarik
    -Jika anak-anak agak liat untuk 'melarikan diri' dari televisyen, ajak anak-anak buat aktiviti lain yang lebih menyeronokkan.  
     Contohnya: Jika waktu petang, ajak pergi padang permainan atau main basikal. Jika malam, mungkin     boleh ajak dia menggunting kertas, atau buat 'art and craft' atau membaca buku cerita. Ini memerlukan pengorbanan ibubapa kerana ibu bapa terpaksa mengambil bahagian dalam aktiviti anak-anak.
    - Ibu bapa juga boleh mengajak anak-anak bermain permainan yang menguji minda seperti catur, saidina dan sebagainya.

3. Menonton bersama anak-anak
    - menonton bersama anak-anak sambil berbual tentang apa yang ditonton, jika baik perbuatan si pelakon, maka pujilah dan galakkan anak melakukannya. Jika tidak baik, katakan kepada anak perkara itu tidak baik dan tidak boleh dilakukan.
    - jika ada adegan-adegan yang tidak soleh (lucah, ganas, tahyul atau sebagainya) minta anak-anak tukar ke saluran lain. Semasa menonton ibu bapa berperanan untuk menimbulkan kesedaran akhlak dan moral supaya waktu menonton menjadi satu sesi tarbiyah tidak langsung terhadap anak-anak. Jadi anak-anak tidak akan menerima semua yang ditonton oleh mereka. Lambat laun anak-anak boleh menapis unsur baik untuk diserap, unsur tidak baik akan dibuang.

4. Elakkan cerita yang tidak baik
    Elakkan cerita-cerita ganas, hantu dan cerita yang memaparkan akhlak yang tidak baik seperti pergaulan bebas. Cerita sebegini akan memberi impak yang negatif kepada anak-anak. Mereka akan menjadi penakut, cepat marah dan banyak sifat negatif lain yang akan terbina dalam diri anak-anak kerana pengaruh rancangan yang ditonton.

5. Tempat televisyen
    - Letakkan televisyen di tempat yang kita boleh pantau tontonan anak-anak. Kawal 'remote control'. Jika diluar waktu menonton yang dibenarkan mungkin ibubapa boleh meletakkan kata laluan pada siaran televisyen tertentu.
    - meletakkan televisyen di dalam bilik anak-anak adalah tidak baik untuk anak-anak. Kita sukar mengawal masa dan rancangan yang ditonton mereka.
    - Tempatkan televisyen di tempat yang anak-anak tidak mudah melepak contohnya dalam bilik yang kecil atau di tingkat atas rumah jika ada. Semakin selesa tampat menonton, semakin tinggi kecenderungan mereka untuk membuang masa di hadapan televisyen.

Disamping itu, ibu bapa itu sendiri juga haruslah menghadkan masa menonton. Jadikanlah aktiviti menonton itu satu PILIHAN bukan KEBIASAAN.

Apa yang tertulis di atas hanyalah cadangan-cadangan yang mungkin boleh dilakukan. Ibu bapa boleh mencipta pelbagai lagi aktiviti yang boleh mengisi masa anak-anak. Apa yang penting, ibu bapa harus sedar bahawa tanggunjawab memantau anak-anak terletak di bahu kita, bukan pembantu rumah atau guru-guru di sekolah.

Sesungguhnya pendidikan pertama anak-anak  bermula dari rumah. Jika kita sebagai ibu bapa tidak berperanan. Maka siapakah lagi yang harus kita harapkan???

Tuesday, April 13, 2010

Anak itik TOK WI mandi dalam kolam!


Jom kita tengok apa yang mereka buat dalam kelas renang! Kelas Renang telah bermula pada rabu (7 April) yang lalu.


Latihan mengapungkan diri.


Latihan pernafasan dalam air.

Pelajar ni terpaksa dipegang oleh Cikgu Rizal sebab tak berani mengapungkan diri tanpa bantuan.


Ni buat apa pula ye? Sebelum berenang dalam air, berenang atas tanah dulu la kot...

Khusyuk mendengar arahan.

Seputar Lawatan Sambil Belajar

Biarlah gambar-gambar di bawah menceritakan perjalanan kami ke alor star baru-baru ini.




Bergambar kenangan di dalam Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit

Berselera sungguh! Anak-anak dihidangkan nasi berlauk ayam masak kicap. Makan bersama di Taman Jubli Perak, berdekatan dengan Wisma Darul Aman.

Ceria ! Seronok mengutip pengalaman bersama teman-teman!

Dihadapan Muzium Padi, Gunung Keriang


Bakal saintis muda sedang menbuat eksperimen!


Bermain sementara guru-guru menyediakan santapan tengahhari.

Banyak lagi gambar-gambar menarik. Dapatkan di tadika segera!


Thursday, April 1, 2010

Mereka cerminan kita



"Ibu, kenapa kalau adik nak susu dia nangis?" Tanya Humaira kepada ibunya yang sedang menidurkan adiknya.

"Sebab adik tak pandai cakap lagi..." jawab saya

Adik Khadijah yang memang sudah cukup mengantuk berpaling melihat kakaknya.

"Kalau merro'? (nama singkatan kepada Humaira)" Dia bertanya lagi sambil mengangkat kening.

"Mmm... Humaira tak boleh la menangis kalau nak susu, kena bagitau sebab kakak dah pandai cakap." Saya menjawab sambil dalam hati mengharapkan dia jangan lagi bertanya sementara adik belum tidur.

Setiap kali dia bertanya, pasti adiknya akan berpaling kepadanya dengan mata yang membulat semula sedangkan dia sangat-sangat mengantuk. Semakin banyak soalan dari kakak, maka makin lambat pulalah proses nak tidurkan si kecil.

"Ibu kenapa hari hujan?" Dia bertanya lagi.

"Sebab Allah nak bagi air kepada kita, binatang dan tumbuh-tumbuhan." Jawab saya ringkas

"Kalau tak hujan cemana?" Dia menyambung lagi pertanyaan

"Kalau tak hujan, semua benda akan mati. Kita tak boleh la minum air lagi... Lagipun, semua benda-benda hidup perlukan air, sebab tu lah Allah turunkan hujan. Allah hebat kan?" saya menjawab dengan ayat-ayat mudah sesuai dengan tahap pemikirannya yang baru lima tahun.

"Mmm... Hebat!" Humaira menyambut dengan penuh keyakinan.

Adik Khadijah dah tidur. Mungkin dah tak berdaya lagi nak mengangkat mata.

Saya turun ke bawah untuk menyediakan sedikit juadah untuk makan malam.

Saya keluarkan sotong untuk digoreng.

"Ibu! Humaira nak tolong ibu masak boleh?" Humaira bertanya saya. Ini memang aktiviti yang sangat digemarinya

"Mmm... Boleh!" Belum sempat saya habis menjawab, dia sudah bersedia di atas kerusi yang ditolak ke depan dapur.

"Ibu, kenapa sotong ni dia lekat dengan kawan-kawan dia?" Dia ragu-ragu melihat sotong yang dipotong tak sempurna itu.

"Bukan dia melekat laaa... Ummi (panggilannya kepada ibu saudaranya) yang tak potong betul tu, sebab tu la dia melekat." 

"Oooo ye ke... Kenapa ibu buh garam ngan kunyit?" Soalnya lagi tatkala saya gaulkan sotong-sotong tu dengan garam dan kunyit.

"Ye lah! Baru lah sedap!" Bagitau saya.

"Bukanlah... Ibu nak bagi dia jadi kuning kot..." Dia membetulkan jawapan yang saya berikan tadi. Saya hanya tersenyum.

"Ibu kenapa sotong ni kena masak?"

"Kalau tak masak kita tak boleh makan... keras... tak sedap... Sebab tu la kena masak."

"Kenapa kalau masak kena bukak api?"

"Kalau nak masak memang la kena guna api, kalau tak guna cemana nak masak?" Hehe saya tak tahu la nak jawab apa sebenarnya tapi saya jawab juga untuk meraikan sifat mahu tahu dia itu.

"Ooo... Kenapa kalau tengah masak dia bunyi ssssssssssss?" Lagi soalan dari sikecil itu.

Hehe saya dah terperangkap ni, tak tahu nak jawab apa. Saya cuba mengalih perhatiannya dari soalan tadi.

"Mmm Humaira tolong ibu kacau sat sotong ni boleh?"

"Haaaa... Boleh! Boleh!" Dia menjawab dengan penuh semangat. Sudip yang di tangan digunakan untuk mengacau-ngacau makanan.

"Alhamdulillah, habis dah kot soalan dia..." Detik hati saya. Saya menarik nafas lega.

Tetapi belum sempat saya menghela nafas seterusnya dia bersuara lagi.

"Ibu kenapa api ni panas sangat ni?" Dia bertanya untuk kesekian kalinya, mungkin kerana tangannya terkena bahang masakan.

"Mmm... Memang Allah ciptakan api tu panas, supaya manusia boleh gunakan untuk memasak, dan buat benda-benda lain..."

Begitulah anak-anak, dia bertanya kerana dia ingin tahu. Kita sebagai orang tua, perlu mendorong sifat ingin tahu mereka dengan cuba sedaya upaya meraikan pertanyaan-pertanyaan mereka.

Kadang-kadang kita memang rasa sangat tercabar dan kurang sabar dengan soalan-soalan remeh anak-anak. Dengan badan yang letih, minda yang kusut dek timbunan tugas di pejabat, soalan-soalan ini boleh sahaja menaikkan darah kita.

Dalam hati mungkin akan terdetik "Ish budak ni... Banyak betul soalannya! Tak tahu ke aku ni balik kerja penat! tak boleh rehat langsung!"

Mungkin ramai juga dikalangan kita yang melontarkan kata-kata sebegini kepada anak-anak :" Ish... Boleh tak diam sikit, ayah nak rehat ni..."

Ataupun begini "Kak Long p tanya mama la, ayah nak rehat sekejap"

Atau jika lebih keras lagi "Kau ni menyibuk betul la! P main jauh-jauh!"

Maka dengan wajah muram, pasti anak-anak akan beredar dari kita dan kita pun boleh berehat atau melakukan kerja-kerja dengan senang hati tanpa gangguan. Namun di dalam kemudahan kita itu, ada hati yang terluka, ada hati yang memendam rasa.

Si kecil mungkin merasa bahawa dia bukanlah orang yang penting dalam hidup kita sebagai ibu bapa mereka.

"Salahkah saya bertanya, saya nak tahu je..." Mungkin begini lintasan hati mereka.

"Ibu tuuu... Orang nak tanya sikit tak boleh! Lepas ni tak payah tanya dah la..." Mungkin begini juga apa yang mereka rasa.

Anak-anak merasakan diri mereka tidak dihargai. Anak-anak akan merasakan bahawa ibu bapa tidak mahu memberikan perhatian.

Lama kelamaan, jika perkara ini berterusan maka, hubungan ibu-anak dan bapa-anak ini akan jadi semakin renggang hanya kerana kita tidak mahu menjawab  persoalan yang dikemukakan.

Jadi janganlah kita terkejut, jika ketika mereka menginjak ke usia remaja pertanyaan-pertanyaan kita akan dijawab sepertimana jawapan kita kepada mereka ketika mereka masih kecil.

Bila kita bertanya "Kakak kat sekolah tadi buat apa?"

Dia akan menjawab "Alah kakak penat la ayah, esok je la kakak bagitau ayah!"

Ataupun bila kita bertanya "Kamu pergi ke mana petang tadi dengan kawan-kawan?"

Dia akan menjawab "Ibu jangan la sibuk-sibuk pasal saya ngan kawan-kawan... Kami pi jalan-jalan je..."

Bukankah begitu cara anda menjawab soalan mereka dahulu. Bukankah begitu juga cara anda melayan pertanyaan mereka dahulu?

WHAT YOU GIVE, YOU GET BACK!

Jadi, layanilah mereka dengan adil. Penuhilah hak-hak mereka ke atas kita. Mereka akan memenuhi hak kita sebagai ibu bapa.

Jika kita ingin dilayani dengan baik, maka layanilah mereka dengan baik terlebih dahulu. Anak-anak adalah cerminan diri kita, jika elok kita maka eloklah mereka. Jika sebaliknya, usah menuding jari kepada mereka kerana yang tertuding ialah kita sebenarnya...

Wallahua'lam...